Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Adil, Maha Mengetahui
Selawat dan Salam ke atas Junjungan Mulia Muhammad Rasulullah yang sentiasa dirindui dan dijadikan teladan terbaik
Selawat dan Salam ke atas Junjungan Mulia Muhammad Rasulullah yang sentiasa dirindui dan dijadikan teladan terbaik
Amalan yang disebutkan di dalam tajuk post ini ialah MENANG-MENANG.
Di dalam organisasi, pelbagai panduan dari kitab motivasi dan psikologi diamalkan berkaitan sikap menang-menang.
Satu demi satu langkah diajarkan kepada pemimpin organisasi, bagaimana mengamalkan menang-menang supaya menjadikan organisasi yang dipimpin cemerlang.
Langkah-langkah itu dipraktikkan – bukan main – dan berkesan pula.
Sayangnya, ia sekadar praktis di dalam organisasi.
Pulang ke rumah, tiada lagi amalan menang-menang.
Sebaliknya, amalan MENANG-KALAH yang hebat dipraktikkan.
Sedari kecil, anak-anak orang Melayu telah dididik supaya MENGALAH kepada yang lebih muda / kecil.
“Kakak tidak payah mainlah. Beri sahaja pada adik.”
“Abang sudah besar, mengalahlah sedikit.”
Didikan jenis apakah ini?
Tidak hairanlah jika sifat busuk hati di kalangan orang Melayu begitu sinonim.
Kerana MENANG-KALAH sudah dididik seawal usia.
Terus, adakah ia ajaran Islam?
Adakah ayat Quran atau hadis yang menyatakan bahawa anak yang lebih tua, tidak layak mendapat apa-apa dan segala yang dimilikinya haruslah diserahkan kepada adik-adiknya yang lebih kecil.
Jadi, jika amalan MENGALAH ini baik lagi membawa kebaikan, mengapakah pula ia tidak diajarkan dalam kepimpinan organisasi?
Jadi, dari mana pula datangnya perkataan ADIL yang disukai ramai?
Bukankah salah satu sifat Allah – Maha Adil?
Rasulullah mendidik anaknya dengan cara bersikap adil dan tidak pilih kasih.
Sikap pilih kasih dan tidak berlaku adil kepada anak-anak terutamanya yang masih kecil dan banyak kehendak, boleh jadi mengakibatkan tekanan dalaman, seterusnya protes dalam diri anak itu.
Kita sudah pilih untuk melahirkan dan membesarkan mereka, seharusnya kita bersedia untuk berlaku adil kepada mereka.
Kerana hubungan kekeluargaan bukannya satu pertandingan yang perlu ada pemenang.
Bagaimana mahu berlaku adil dan mendidik sikap menang-menang?
Dalam organisasi, perlu ada ahli mesyuarat dalam penentuan keputusan.
Dalam keluarga, di kalangan anak-anak, jika hanya abang atau kakak yang dimarahi dan disuruh mengalah, itu tidak adil. Itu menang-kalah. Adik menang, abang / kakak kalah.
Jika adik merampas barang abang / kakak, kemudian ibu / ayah menegur adik. Adik merajuk. Biarkan sahaja dia merajuk.
Jika dipujuk dengan, “Abang / kakak, berilah adik barang itu. Biar dia diam.”
Maka, abang / kakak akan tertekan kerana barang kesayangannya dalam tangan adik, yang berkebarangkalian dirosakkan.
Dan adik pula akan merasa menang, dan sentiasa akan rasa dia patut menang dan abang / kakaknya perlu sentiasa kalah.
Dan adik, apabila dibiasakan menang, maka tiada lagi rasa belas kepada abang / kakaknya. Kerana dalam mindanya sudah ada tetapan
Apa pun yang berlaku, hak aku atau bukan hak aku, jika aku mahu, pasti ibu dan ayah akan menyebelahi aku!
Jika adik tidak dapat, dia akan melenting.
Bila dia melenting, ibu dan bapa akan bingung.
Bila ibu dan bapa bingung, maka abang / kakak harus mengalah supaya adik berhenti melenting.
Akhirnya?
Adakah sesiapa yang kisahkan perasaan abang / kakak?
Bukankah lebih baik jika ada sistem penggiliran?
Beli satu barang, kongsi dua tiga orang. Latih dengan TEGAS, penggunaan barang secara giliran.
Jika tidak mahu bergilir, jatuhkan hukuman yang berpendidikan.
Juga, boleh beri mereka berfikir dan buat pilihan. Contoh; jika adik tegar mahu abang / kakak mengalah, beritahu dia, “Baik, adik ambil itu. Ibu / ayah akan berikan yang baharu untuk abang / kakak.”
Biar adik buat pilihan.
Jika selepas dia memilih untuk terus mengambil barang abang / kakak, tetapi mahu juga barang baharu yang diberi kepada abang / kakak, beri peringatan kepadanya tentang pilihan yang telah dia buat. Ini didikan supaya dia bertanggung jawab atas pilihan yang dia sendiri telah lakukan. Situasi ini memerlukan ketegasan ibu bapa supaya adil dan saksama.
Ya, ia kelihatan tidak mudah. Kerana ia tidak pernah dilakukan.
Tiada apa yang mudah sekiranya ia tidak dilakukan dan dibiasakan.
Mahu lakukan atau biasakan, terpulang kepada pilihan yang dibuat.
Dan jangan pula merungut atau kecil hati atau murka sekiranya tidak mendapat hormat dari anak sendiri.
Cermin diri, tanya hati.
Bukan soalan “Mengapa anak aku jadi begini?” yang perlu ditanyakan.
Tetapi, “Apa yang telah aku lakukan, apa pula yang tidak aku lakukan, sehingga anakku jadi begini?”
Sikap anak-anak kecil, adalah acuan yang dicipta oleh ibu bapanya.
Sikap anak-anak kecil, adalah gambaran sikap ibu bapanya.
Sikap anak-anak kecil, adalah hasil didikan ibu bapanya.
* Gambar gambar yang disiarkan tiada kaitan dengan artikel ini ...
No comments:
Post a Comment