Selain mahu melihat Tembok Besar atau Kota Larangan ketika berkunjung ke Beijing, keutamaan aku juga ialah ke Stadium Olimpik 2008. Sangat teruja apabila berpeluang ke tempat yang menjadi tumpuan dunia itu.
Kesempatan melancong ke ibu kota itu bersama keluarga, aku memberitahu pemandu pelancong supaya memastikan dapat berada di stadium berkenaan lebih lama kerana sebelum ini dimaklumkan oleh rakan-rakan yang pernah berkunjung ke sana hanya diberi peluang mengambil gambar dari luar saja.
Walaupun aku pernah mengunjungi Stadium Bukit Jalil yang boleh menampung 100,000 penonton tetapi berada di stadium ini dirasakan lebih bermakna kerana ia tempat bersejarah kerana menjadi gelanggang rasmi Sukan Olimpik ke-29.
Lagi pun reka bentuknya seperti sarang burung sungguh mempesonakan, terutama apabila melihat dari jauh.
“Wau.” Itulah perkataan pertama keluar daripada mulut aku sebaik melihat stadium berkenaan. Tidak hairan mengapa stadium yang mengambil masa empat tahun untuk dibina dengan kos AS$423 juta (RM1.3 bilion) membabitkan 44,000 tan besi keluli ini dipanggil Bird's Nest yang menyaksikan atlit bertaraf dunia, termasuk Usain Bolt, mengerah keringat untuk memburu pingat emas pada 8 hingga 24 Ogos 2008.
Menurut pemandu pelancong Mr John, sarang burung menjadi kegemaran masyarakat Cina dan ia sangat mahal dan hanya dimakan pada hari perayaan oleh mereka yang berkemampuan.
“Oleh kerana sarang burung sinonim dengan masyarakat Cina, timbul ilham untuk membina reka bentuk stadium berkenaan. Kami bangga dengan stadium ini,” katanya.
Aku menghabiskan masa lebih sejam untuk merakam gambar sambil melihat kemudahan disediakan sambil membeli cenderahati. Di stadium itu juga disediakan skrin besar bagi membolehkan pelancong menyaksikan upacara pembukaan Sukan Olimpik 2008 diadakan seolah-olah menyaksikan sukan berkenaan secara langsung.
Mr John memberitahu, selain Tembok Besar China dan Kota Larangan, stadium itu kini menjadi tumpuan pelancong selepas Sukan Olimpik.
Pelancong biasanya memilih untuk bersiar-siar di perkarangan yang luas kawasannya untuk mengambil gambar kenang kenangan.
“Selain stadium, turut menjadi tumpuan ialah Ice Cube di mana sukan renang diadakan terletak bersebelahan stadium ini,” katanya.
Ice Cube juga menarik, terutama apabila melihat dari luar dan menjadi tumpuan pelancong merakamkan gambar sebagai kenangan. Aku juga tidak melepaskan peluang berbuat demikian.
Di perkarangan stadium juga dipenuhi peniaga yang menawarkan pelbagai cenderahati, terutama berbentuk stadium berkenaan berharga sehingga 50 yuan (RM25). Jika pandai tawar, cenderahati itu boleh diperoleh pada harga 10 yuan saja (RM5).
Selesai bergambar dan menikmati kecantikkan Bird Nest dan penat berjalan seharian, kami di bawa dan berpeluang mengurut kaki di Pusat Perubatan Tradisional China.
Kami juga di bawa melawat kilang Ruby and Saffire. Kunjungan ke kedai kristal menyaksikan kristal yang berwarna merah seberat 120 kilogram dan terbesar di China. Mengikut kepercayaan penduduk di situ, sesiapa yang mengusap bola tersebut akan menjadi kaya.
Rombongan juga diperkenalkan dengan sejenis batu di mana di dalamnya terdapat blue sapphire. Ia digunakan untuk membuat barang perhiasan wanita seperti loket, gelang, cincin dan lain-lain.
Perjalanan seterusnya ke Istana Musim Panas mengambil masa sejam Istana Musim Panas merupakan sebuah taman bagi maharaja untuk beristirehat pada musim panas. Ia turut dikenali sebagai Yihe Yuan yang bermaksud Taman Usia Panjang Yang Terpelihara
Cuba lihat air tasik yang membeku
Summer Palace ( dibina pada tahun 1888 oleh Raja Dowager Cixi dan merupakan taman diraja tercantik serta terbesar di China ).
Seterusnya kami ke Zoo Beijing untuk melihat panda dari dekat tentunya. Suhu yang sangat sejuk -8C membuatkan kami perlu bergerak dengan pantas.
Sungguh seronok melihat gelagat panda buat kali pertama dalam sejarah. Hanya ada beberapa ekor haiwan berkenaan di zoo itu. Cenderahati membabitkan haiwan terbabit boleh diperoleh dengan harga berpatutan.
Selepas melawat Zoo Panda, kami singgah di Masjid Nuijei iaitu masjid tertua di Beijing. Saya berkesempatan solat jamak dzhor dan asar di Masjid tersebut. Kami dan ahli rombongan berpeluang melawat dan bersolat di tiga masjid sepanjang lima hari di Beijing iaitu Masjid Niujie , selain Masjid Nan Dou Ya dan Masjid Madian yang dibina lebih 300 tahun lalu pada zaman Dinasti Qing, selain mempunyai ciri istana kuno China dengan gaya hiasan bercorak Arab.
Kami juga ke pusat beli-belah menawarkan harga 50 peratus kurang daripada harga asal iaitu Sunny Gold Market, Tanya Market dan Silk Market menjual cenderahati, beg dan pakaian. Perlu waspada kerana peniaga di kebanyakan pasar sangat agresif, menggunakan perkataan kasar sekiranya pelancong menawar tetapi kemudian tidak bersetuju membeli.Tapi kebanyakannya mesra menyapa dan tidak mendesak.
Kebanyakan gadis penjual pandai berbahasa Melayu. Mungkin kerana ramai pelancong dari Malaysia yang datang terutamanya orang Melayu membolehkan mereka mudah mempelajari bahasa kita. Disitu tak sempatlah saya nak mengambil gambar kerana sibuk mengikut isteri memborong barangan cenderahati. Saya tabik isteri saya kerana kepakaran beliau menawar harga dengan amoi-amoi penjual itu. Mana tidaknya harga yang asalnya dari 100 yuan boleh dapat serendah 10 yuan sahaja.
Selepas puas membeli belah, makan malam di restoran Muslim dan balik ke hotel untuk berehat kerana seharian berjalan. Puas walaupun penat kaki, tangan dan minda. Di hotel isteri dan anak anak mula berkemas untuk kembali semula ke Malaysia esok pagi.
No comments:
Post a Comment