Saturday, December 18, 2010

SIKAP MUNAFIK

 31 Julai 2007
Munafik atau nifaq bermaksud apa yang dizahirkan tidak sama dengan apa yang ada pada batin. Sifat munafik juga digelar hipokrit, mulut manis apabila berkata tetapi hakikatnya ia berbohong, pandai berbahasa sehingga orang boleh percaya kata-katanya, pandai berjanji tetapi mungkir, ia juga pandai membodek atau mengampu seseorang. Dalam budaya Melayu juga telah banyak menggambarkan sifat-sifat munafik atau hipokrit ini. Contohnya talam dua muka, musang berbulu ayam, telunjuk lurus kelingking berkait, pepat di luar runcing di dalam, dan lain-lain. Allah subhanahu WataAla sangat murka terhadap perbuatan khianat ini, sebagaimana firman-Nya dalam surah Yusuf ayat 52 yang tafsirnya:

"Dan bahawa Allah tidak menjayakan tipu daya orang-orang yang khianat."

Khianat adalah lawan bagi sifat amanah. Ia juga merupakan sifat atau ciri-ciri orang yang munafik, sebagaimana tersebut dalam hadis dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Tanda-tanda munafik itu tiga perkara: apabila seseorang itu bercakap ia sentiasa berbohong, apabila berjanji tidak pernah ditunaikan dan apabila diamanahkan mereka khianat." (Riwayat al-Imam al-Bukhari).

Kedudukan orang munafik tempatnya di neraka yang paling bawah bersama-sama orang kafir, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nisaa' ayat 145 yang tafsirannya:

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) Neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka."


Di antara sifat-sifat munafik itu ialah:


1) Mengkhianati amanah yang wajib dipelihara, meremeh-temehkan amanah yang diberikan atau tidak menunaikan tugas dan tanggungjawab yang diserahkan padanya dengan sebaik-baiknya, kerja dengan sambil lewa dan menggunakan amanah yang diberikan kepadanya untuk kepentingan diri , keluarga dan rakan yang terhampir
2) Bercakap bohong, membuat penjelasan, kenyataan dan keterangan yang dusta atau seakan-akan dusta sama ada dengan lisan atau tulisan, memutar-belit dan memesongkan keterangan yang sebenar, mengubah dan menokok tambah kenyataan, membuat kempen-kempen atau promosi-promosi dusta dan propaganda liar dan segala bentuk penyelewengan kata-kata dan bicara termasuk membesarkan perkara yang kecil dan memperkecilkan yang besar. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Az-Zumar ayat 60 yang tafsirannya:

"Dan pada hari kiamat, engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah (dan yang menyatakan kesedihan itu) muka mereka hitam legam."

 
3) Tidak menepati janji yang diikrarkan dan mencabuli perjanjian yang dipersetujui bersama.
4) Ingin menang dalam pertengkaran (bertengkar sehingga melampaui batas) walaupun terpaksa menegakkan benang yang basah atau terpaksa membawa saksi palsu bagi menguatkan hujah.(nie peguam2bela mahkamah sivil yg berbelit lidah nak menangkan klien).

Semua sifat-sifat munafik yang tersebut itu boleh menimbulkan kesan yang amat buruk kepada ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat, malah boleh menimbulkan huru-hara, perpecahan dan menghilangkan rasa kepercayaan antara satu dengan yang lain. Orang munafik adalah musuh dalam selimut dan mereka ini lebih berbahaya bagi umat Islam. Orang yang memungkiri janjinya adalah dianggap orang yang membelakangi kebajikan. Akibatnya, Allah Subhanahu Wataala akan mengekalkan perasaan munafik dalam hati mereka. Sementara mereka yang berbuat dosa, nescaya akan diturunkan bala bencana kepadanya yang akan menimpa dirinya sendiri. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nisaa' ayat 111 yang tafsirannya:

"Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri."

No comments:

Post a Comment